Mar 31, 2010

wahai kasih

wahai kasih

apalah yang dapat ku persembahkan buatmu


aku si pengembara

yang mengembara mencari nur

namun mata gelap dihijab nafsu


aku si pengemis
yang mengemis di jalanan

punya kudrat namun tak kugunakan
kufur pada nikmat yang Kau berikan


aku si hina
lebih hina dari lumpur di kaki manusia


namun..impikan syurga idaman
ah...
manakan mungkin bisa kugapai bintang di langit
saat diri di celahan bumi



aku si miskin

yang kontang dari bekalan iman


Kau...
Maha Sempurna
Maha Agung Dan Maha Suci..

Mar 27, 2010

perjalanan...


Dulu??


dulu walaupun tak ramai..sekurang2nye ada tempat nak mengadu, ade tempat nak berkogsi rase, ade org nak bagi semangat, ada kepala yang nak bagi idea….

Sekarang??


Masing2 dah tercampak di tempat yang berbeza..dan aku terdampar di sini.. rase keseorangn.. takde lagi bahu yang sudi menadah air mata, takde lagi telinga yang sudi mendengar luahan hati... susahnye nak cari yang same ngan korang yg dulu… susahnye nak cari org yang sefaham dgn aku… sapelah yang sudi menyakitkan kepala fikir nak setle problem skg ni… hati sentiasa sedih, murung, tak kuat…

Nilah perjalanan..

Perjalanan hidup, yang telah lama diatur oleh Allah..Cuma terserah kpd kita bagaimana nak corakkan kehidupan kita..nak rujuk ape? Nak berpandukan ape? Fikir..fikir dan guna anugerah yang Allah bagi. Dulu kenal abc di tadika, pastu belajar buat ayat masa sekolah rendah dulu, pastu dah pandai buat essay lebih dari 150 patah perkataan mase sekolah menengah then seterusnya..

Samalah dgn pengalaman, selalu kena cubit sebab malas nak wat homework, jadi ‘blacklist student’, pegang title pengawas tapi buat hal…tak pasal2 kena buang, pastu semakin matang.. dah rase ada matlamat hidup skit2..mula serius dengan tanggungjawab, taklifat..amanah, sedar2 dah mula bekerja..aik!! tiba2 dah beranak-pinak…

Begitu juge dgn orang di sekeliling kita, kawan2. dulu berkawan sebab rasa nak berkawan, nak tambah kenalan, org berkawan…kita pun berkawan.. orang bercinta..kita pun nak cuba, bila berpisah tak rasa apa2.. pastu kita kenal erti persahabatan, persahabatan yang luar biasa.. luar biasa sebab ikatan tu terbina tanpa sedar, dan akhirnya terbentuk ikatan hati yg insyaAllah dipenuhi mahabbah fillah…dan takkan putus walau jauh di mata..

Banyak lagi perjalanan hidup, yang mana tak terakam dek kamera digital, bukan juga rakaman suara, jauh sekali media massa… tapi yang pasti..semuanya terakam di pandanganNya, tak terlepas walau seinci..menyorokla kat mana2, tak terlepas…….

Setiap langkah perjalanan…

Setiap langkah, setiap jejak…takkan sunyi dari dugaan, hari ni kita bersama, esok dah terpisah, hari ni kita senyum, tak sampai sejam dah menangis, tapi jangan kecewa… kalau rebah jgn mengalah… kita ada Dia

“Maka bersabarlah kamu seperti orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul- rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka...” (Al-Ahqaf: 35)
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”
(Luqman: 17)

Dia memujuk kita melalui kitabNya yang suci…..
Dia menjanjikan kita dengn sesuatu yang tak mampu terbayang dek mata..walau kita sering derhaka…
Lemahnya kita kerana selalu mengeluh…

Jadi??

Ingatlah..Allah sentiasa bersama kita, segali nafas masih terhembus dari rongga, selagi itu peluang terbuka buat kita.. peluang membangkitkan semangat, peluang mencari kebenaran, peluang mengumpul kekuatan dan yang paling penting..peluang bertaubat dari kesilapan2 semalam… nyawa yang ada tanda peluang dariNya buat kita untuk mengisi bejana kehidupan dengan sesuatu yg disuruh, disukai olehNya dan menjauhi segala apa yang dilarangNya..menebarkan kebenaran, mencegah kebatilan

Hari ni ketawa kita mengingatkan kita yang kita pernah menangis…
Hari ni tangisan kita mengingatkan kita pernah gembira…….
Supaya kita sentiasa beringat……..

Akhir kalam…

SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMBELI DARI ORANG2 MUSLIM, DIRI DAN HARTA MEREKA DENGAN MEMBERIKAN SYURGA UNTUK MEREKA…

(AT-TAUBAH, 111)

wallahu`alam…

Mar 25, 2010

dakwah fardiyyah

Menyemarak Usaha Dakwah Fardiyyah

Oleh : Ustaz Hasri b Harun – Yang Di-Pertua ABIM Selangor

Dakwah Fardiyyah atau dalam bahasa Melayu bermaksud dakwah secara individu adalah satu usaha yang sangat besar dalam pembangunan masyarakat dalam sesebuah komuniti dan negara. Walaupun ianya dilihat sebagai satu perkara yang kecil tetapi sumbangannya dalam kejayaan sebuah dakwah secara jamaah tidak boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, kita lihat sejarah awal Islam bagaimana baginda SAW melakukan dakwah secara senyap (sirr) kepada kelompok manusia yang dekat dengan beliau seperti isteri, rakan, saudara dan sebagainya adalah antara contoh metodologi yang boleh kita lakukan dalam masa ini.

Disamping itu kita perhatikan bagaimana dakwah secara fardiyyah ini memberi sumbangan yang besar kepada kebangunan umat. Contoh yang dilakukan oleh baginda SAW dan para sahabat apabila terpegun dengan ketokohan dan kewibawaan individu yang berada bersama-sama baginda di awal Islam. Kita lihat bagaimana berhemahnya Saidina Abu Bakar As Siddiq, ketokohan beberapa sahabat lain yang begitu dikagumi oleh lawan dan kawan memberi sumbangan kepada pertambahan orang-orang Islam pada waktu itu. Apakah kita tidak sedar bahawa besar sekali sumbangan dakwah secara fardiyah dalam usaha kita menyebarluaskan lagi islam kepada seluruh umat tidak kira islam atau tidak.

Bentuk dakwah fardiyah

Dr. Fathi Yakan membahagikan dakwah fardiyyah kepada dua bahagian, pertama adalah dakwah fardiyyah yang berlaku atau muncul dikalangan individu yang telah berada dalam sesebuah jamaah (berintima’ dengan harakatul Islam). Usaha ini dilakukan oleh individu yang melakukan dakwah hasil daripada idea dan pendekatan secara lebih intensif dan teratur melalui perancangan sesebuah jamaah. Hasil ini akan membawa kepada jemputan semua golongan kepada jamaah yang dianggotainya atau sekurang-kurangnya memperbaiki diri ke arah kebaikan. (faaslihu) Kedua, dakwah fardiyyah dikalangan individu yang belum berintima’dengan jamaah. Usaha ini banyak dilakukan individu yang mana biasanya menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah bebas. Sejauhmana bebasnya mereka ini pun masih berada dalam tandatanya.

Dalil-dalil dakwah Fardiyyah

Kita dapat perhatikan, bahawa ada dua dalil yang boleh menjadi sumber rujukan kita tentang mengapa dakwah fardiyyah ini penting, Pertama adalah dalil daripada al-Quran, dalam surah al-fussilat ayat 33 berbunyi “ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada jalan Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata” Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” Begitu juga dalam hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Al-Sahih menyebutkan “ Barangsiapa menunjukkan orang kepada kebaikan ia mendapatkan pahala sebagaimana orang yang mengerjakannya.

Akhlak Dakwah Fardiyyah

Selaras dengan kepentingan dakwah fardiyyah yang juga menyumbang kepada kejayaan dakwah islam, maka kita harus juga melihat kepada ciri-ciri yang boleh membawa kepada kejayaan usha dakwah fardiyah ini. Disini digariskan cirri-ciri yang boleh dijadikan panduan yang sepatutnya ada pada individu-individu yang mahu menjalankan dakwah secara fardiyyah. Antaranya:

Pertama, Uswah dan Qudwah, maknanya menjadi teladan kepada orang lain. Ciri uswah dan qudwah ini sangat penting kerana ianya menjadi contoh yang utama dalam memastikan misi dan visi dakwah berjaya menarik orang kepada usaha tersebut. Kita lihat bagaimana para sahabat yang menjadi contoh dan uswah,turut menjadi tarikan kepada orang lain untuk memasuki Islam. Begitu juga kita sebagai individu muslim, contoh ini bermakna ianya harus tergambar sebagaimana kata-kata dan perbuatan, gandingan antara uswah dan qudwah,

Kedua, Ikhlas seluruh tujuan dan gerak kerja dakwah samada fardiyyah mahupun jamaah haruslah digariskan secara besar dengan misi ikhlas kerana Allah Taala. Misi ikhlas ini tidak boleh dipinggirkan daripada sanubari para pendakwah kerana dengan keikhlasan ini akan membawa kepada kekuatan dan kebenaran dakwah. Tanpa ikhlas akan membawa kepada ketidakjujuran dalam berdakwah. Akan timbul perasaan cepat putus asa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Firman Allah dalam surah al-An’am “Sesungguhnya solat ku, ibadatku hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah , tuhan semesta alam”

Ketiga, sabar dan ihtisab, maknanya dalam dakwah individu pastinya akan menghadapi pelbagai dugaan samada kecil atau besar, justeru para pendakwah harus menyediakan diri dengan kesabaran yang tinggi. Ihtisab, maknanya mengharapkan pertolongan Allah, Ini kerana kadangkala usaha dan ikhtiar kita yang dirancang kadangkala tidak mampu kita lakukan dek kerana hubungan dengan allah yang masih cetek. Firman Allah dalam surah al-Ahqaf ayat 35 “Bersabarlah sebagaimana kesabaran para ulul azmi daripada para rasul”

Keempat, pengorbanan, jiwa berkorban harus dibentuk agar usaha dakwah akan dapat disuburkan dalam jiwa para dai. Kekuatan yang ada dalam jiwa para sahabat nabi semasa melakukan dakwah antara lain adalah kekuatan jiwa berkorban semata-mata kerana Allah samada berkorban, harta, jiwa, wang ringgit dan sebagainya. Untuk kita sebagai pendakwah muda, usaha ini tidak akan berjaya kalau kita hanya mementingkan diri sahaja. Percayalah bahawa berkorban ini seumpama menyemai benih yang mana hasilnya akan kita tuai dihadapan Allah Taala kelak.

Kelima, berinteraksi dengan pelbagai orang, janganlah sampai seorang daie yang baik itu menghabiskan masa menumpu kepada sesetengah pihak sahaja. Membuka ruang dakwah kepada pihak-pihak yang lain juga perlu bagi memastikan masa tidak dihabiskan disitu sahaja. Pengharapan yang tinggi juga tidak wajar dibuat kerana peranan kita sebagai dai adalah sebagai penyeru bukan penentu kepada kejayaan hasil daripada usaha kita selama ini.

Keenam, Antisipasif dengan kegagalan dakwah, sebagai daie yang berjiwa besar dia tidak harus berasa kecewa apabila dakwah yang dilakukan tidak mendapat respon yang positif daripada para madu nya. Dalam jiwa dai itu harus ada perasaan bahawa hidayah itu datang daripada Allah Taala bukan daripada tangan-tangan kita.

Ketujuh, menjaga hak-hak ukhuwwah Islamiah sesama madu’ yang kita dihadapi. Sebagai dai mereka haruslah menjaga hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja agar kredebiliti yang ada tidak akan terjejas akibat daripada kesilapan yang dilakukan. Sikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara itu perlu agar tindakan tidak akan sia-sia. Yang penting para dai harus peka kepada perubahan agar mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara yang menjejaskan usaha dakwah.

Mar 23, 2010

apalah erti diri ini...



apalah erti diri ini
andai tidak dibaluti iman
tercicir dari tarbiyyahMu Tuhan
apalah erti diri ini
andai jejak langkah dibayangi kejahilan
Adakah bererti diriku..
pada umat?
pada Islam?

yakinkah kau akan jalan yang dipilih?
tidak gusarkah kau
andai ia dikaburi tipu daya semata-mata?
agar kau terus dibohongi
permainan sementara
yang hanya menjanjikan habuan dunia yang binasa
sedang kau berasa benar
namun sayang..hanya fatamorgana
yang membaluti kebatilan dengan kebaikan
sehingga akalmu buntu untuk mencari
manakah kilauan yang sebenar

kesedihan dan kekosongan
terus mengisi ruangan hati
merindukan kesucian dan ketenangan
yang entah bila dapat digapai

padaMu tuhan..
kuserahkan segalanya.......

Definisi tepat tahap kecerdikan sebenar individu

Definisi tepat tahap kecerdikan sebenar individu

BUKAN sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof, 24, yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelesaikan masalah matematik. Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.

Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah ‘tiket’ kepada masa depan lebih cerah. Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi apabila si anak membawa pulang kejayaan. Namun, apakah mereka ini pintar, berbakat, genius atau pun prodigy? Jangan keliru kerana inilah takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi.
Seperti kata-kata ‘serupa tapi tak sama,’ pakar linguistik dan Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, berkata masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini.
"Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak"

Fadzilah Kamsah
Pakar motivasi
“Aspek berbakat, pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang tepat.

“Genius adalah individu normal, tetapi mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah teknikal yang sukar atau tidak dapat diselesaikan pakar lain. Contoh paling tepat menggambarkan seseorang yang dianggap genius ialah Albert Einstein dalam bidang sains fizik manakala Thomas Edison dalam bidang elektrik,” katanya yang berkelulusan ijazah sarjana muda linguistik Universiti Malaya dan sarjana dalam bidang sama Leeds University.

Beliau yang pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi, berkata seseorang itu disebut genius apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka yang normal. Justeru Einstein dan Edison layak digelar genius disebabkan mereka berjaya menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan saintis dan jurutera lain.

“Kanak-kanak yang layak digelar genius adalah kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan orang dewasa. Jika tidak, mereka setakat digelar berbakat atau pintar, bukan genius. Mereka yang dapat menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun adalah berbakat, bukan genius.
“Istilah genius tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak kerana belum ada kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah setaraf orang dewasa. Einstein menyelesaikan masalah teori relativiti pada usia 25 tahun, selepas lulus universiti,” katanya.

Ainon mendakwa, disebabkan genius adalah pakar dalam sesuatu bidang, tiada kanak-kanak genius kerana anak kecil itu tidak mempunyai kepakaran ilmu. Oleh itu, baginya, tiada kanak-kanak genius dalam bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran ataupun perfileman atau yang bergelar pakar bedah.

Satu lagi istilah ‘prodigy’ yang merujuk keupayaan kanak-kanak melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan orang dewasa.

“Kanak-kanak pada usia lapan tahun yang dapat mengikuti pelajaran matematik peringkat universiti atau mencipta muzik seperti pemuzik dewasa, selayaknya digelar ‘prodigy.’ Mereka ini hanya ada dalam dua bidang iaitu matematik dan muzik. Kanak-kanak prodigiy mempunyai kepintaran orang dewasa dalam bidang matematik ataupun muzik saja. Dalam lain-lain hal, mereka adalah kanak-kanak seperti budak lain,” katanya.

Persoalannya, apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini? Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

“Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.

“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.

Katanya, satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya. Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak, makanan, persekitaran dan didikan.

Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.

“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai doktor misalnya. Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.

“Wanita Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik hamil, mereka akan membuat latihan matematik, mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak. Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak. Kita juga boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam kita mempunyai 1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama,” katanya.

Dr Mohd Fadzilah berkata, dia sendiri pernah bertemu dengan seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca sehingga satu juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.

“Jika dia keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan. Anak itu dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan tinggi akhlaknya. Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.

Malah, baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah ‘hypnagogic moment’ iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak tidur.

“Ketika itu, mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak akan menurut apa yang dikatakan.

“Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru bangun tidur. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.

“Kata-kata itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan perkataan degil, keras kepala kepada anak. Sebaliknya jika mereka melakukan sesuatu kesilapan, katakan kepada mereka: “Kamu anak baik. Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,” katanya.

'Formula Adi Putra berasaskan kiraan Islam'

IMPIAN untuk bertentang mata dengan Adi Putra Abdul Ghani, 11, tidak kesampaian kerana dia berada di kampung neneknya yang baru meninggal dunia. Namun peluang bertemu ayahnya memberi kesempatan mengenali siapa sebenarnya Adi Putra yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan sehingga kini sudah mencipta 228 formula menyelesaikan masalah matematik.

Kisah kepintaran Adi Putra menyelesaikan masalah matematik sudah terlalu banyak diperkatakan tetapi kali ini penulis dihidangkan dengan sisi lain budak cerdik itu.

Menerusi paparan cakera padat, Adi Putra hanya menonjol dalam matematik tetapi pelbagai bidang lain yang melampaui usia sebenarnya.

“Ia satu anugerah Allah yang wajar kita syukuri. Ia juga satu bukti kehebatan Allah yang mampu memilih sesiapa saja untuk diberikan keistimewaan biarpun makhluk itu semuda Adi Putra,” kata Abdul Ghani ketika ditemui baru-baru ini.

Menariknya mengenai Adi Putra ialah semua formula matematiknya berasaskan cara kiraan Islam 100 peratus dan cara penyelesaiannya berdasarkan cakerawala, peredaran bulan, matahari, bumi serta menggunakan semua ciptaan Allah SWT di muka bumi ini seperti bukit dan tidak ketinggalan mengguna pakai perkiraan orang dulu.

Abdul Ghani mendakwa, kaedah pengiraan itu diiktiraf pakar antarabangsa malah di luar negara satu formula Adi Putra dinilai bersamaan RM1 juta dan modul sifir yang dihasilkannya bernilai berbilion ringgit.

“Jangan anggap Adi Putra budak kecil kerana selain pintar dalam matematik, dia juga mampu mengajar, petah berbicara walaupun ketika ditemubual stesen televisyen antarabangsa malah tidak kekok bersama dengan pembesar negara,” katanya.

Katanya, anaknya itu juga diiktiraf memiliki pengetahuan ilmu matematik berusia 400 hingga 500 tahun dulu yang pernah dikuasai ilmuwan Islam. Adi Putra bukan hanya menguasai formula matematik sebaliknya mengkaji setiap nombor.

“Kita dianugerahkan jari dan pelbagai bentuk bantuan semula jadi untuk mengira. Adi Putra juga menggariskan tiga perkara yang merosakkan dan melemahkan minda umat Islam iaitu terciptanya kalkulator, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan permainan video.

“Matematik dan sains tidak dimonopoli sesuatu bangsa sebaliknya terpulang kepada kita untuk menguasainya. Ilmuwan Islam terdahulu sudah membuktikan betapa kita sebenarnya menguasai matematik, bukan orang lain.

“Apa yang penting ialah bukan sekadar anak kita bijak tetapi juga kreatif. Adi Putra mengajar budak lain untuk turut kreatif mencari penyelesaian kepada masalah matematik dengan tempoh paling cepat,” katanya.

Malah, kata Abdul Ghani, salah seorang pelajarnya cuma mendapat satu markah daripada 50 soalan matematik dan selepas mengikuti kelas Adi Putra, dia mampu memperoleh 100 peratus selepas dua hari.

INFO: Tip untuk ibu bapa

* Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
* Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
* Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
* Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.



FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam

* 1) Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.
* 2) Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.
* 3) Susu segar - Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri - biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.
* 4) Telur - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli - ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.
* 5) Halia - Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.
* 6) Buah Delima - Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”

berita harian-